SABARLAH DALAM BERSABAR..
As- Sobur , Zat Yang Maha Penyabar adalah Asma ul Husna Allah yang terakhir. Sifat Allah yang agung dan mulia ini menyimpan sejuta satu fadhilat dan khasiat untuk kita ambil sebagai panduan dalam melayari kehidupan. Bayangkanlah Tuhan pemilik seluruh alam yang memiliki seluruh sifat kesempurnan itu pun masih memiliki sifat Maha Penyabar. Bagaimana pula dengan diri kita ini yang serba kekurangan dan serba bergantung kepada Tuhan? Berbicara mengenai sabar mudah, memahaminya mungkin agak sukar dan mengamalkannya pula pasti tidak semudah yang dibicara dan yang difahami. Namun kita ada Dia yang selalu dekat dan amat dekat sebenarnya dalam hidup kita. Dan yang pasti, untuk lebih dekat kepada Nya, Allah turunkan mehnah (ujian) kepada kita. Sabar dan mehnah (ujian) dari Allah juga sangat dekat antara satu sama lain..
Apakah kita sebenarrnya mengerti akan apa yang dikatakan dengan sabar? Sabar itu adalah tidak berkeluh kesah dengan lidah dan tidak berbuat sesuatu yang tercela dengan anggota lantaran sakit dan pedihnya diuji Allah. Tidak cukup bersabar diri kita jika kita hanya mampu menahan dari berbuat yang tercela namun di hati masih lagi hadir keluh dan kesah.
Allah sesungguhnya tidak zalim, malah Dia lah yang Maha Pengasih dan Penyayang kepada hamba Nya yang mengatasi jauh dari kasihnya seorang ibu terhadap anaknya. Memetik firman Nya dari surah Al Baqarah ayat 45 dan 46 yang bermaksud,”Dan mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang yang kusyuk. (Iaitu) orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan mereka akan kembali kepada Nya”.
Bukankan kita percaya pada Allah, oleh itu bukankah kita juga perlu yakin pada setiap ujian Nya? Kerana kasih dan kerana sayanglah kita diuji. Berat atau buruk sesuatu ujian itu, hanyalah pada pandangan dan amatan manusia, manusia yang ilmunya tidak setanding dan sebanding dengan ilmu Allah. Tiada yang sia- sia dari Tuhan dan tidak ada yang buruk pada setiap ciptaan dan takdir Nya. Binalah keyakinan, suburkanlah ketabahan dan panjatkan rasa syukur pada setiap ujian dan takdir Allah. Fahamilah apa itu hikmah dan apa itu pengajaran.
Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidak ada seorang pun yang mendengar sesuatu yang menyakitikan lebih sabar dari Allah. Dia telah disekutukan dan dianggap memiliki anak, tetapi Dia membiarkan dan memberi mereka rezeki”. (Riwayat Ahmad daripada Abu Musa al- Ash’ari). Tidakkah luluh hati kita mendengarkan dengan mata hati akan hadis ini bahawa betapa sabarnya sang Maha Penyabar ini? Tidakkah kita malu apabila mudah melenting, kecewa dan kadang kala marah dan mempersoalkan ujian Allah?
Allah menyebut mengenai sabar lebih dari 90 tempat di dalam al Quran dan pastinya sifat ini amatlah dititikberatkan oleh Nya. Tanpa sabar, tidak ada kejayaan di dunia mahupun akhirat. Sabar itu ganjarannya syurga. Dengan keyakinan itu, penderitaan yang sedikit dan sementara di dunia mampu dihadapi kerana mengharapkan kenikmatan yang lebih baik dan kekal di syurga. Oleh itu, berlapang dada dan bersangka baiklah pada ujian Allah.
Allah tidak menguji lebih dari apa yang termampunya kita. Itu janji Nya dan orang Mukmin itu tinggi sifat sabarnya. Ambillah pengajaran dan hikmah dari rasul Ulul Azmi kerana mereka memliki ketabahan dan kekuatan yang luar biasa apabila diuji demi agama suci ini. Nabi Nuh sebagai contoh telah berdakwah hampir seribu tahun, namun pengikutnya hanyalah dikatakan sekitar 80 orang, namun Baginda tetap sabar dan yakin dalam menghadapi ujian Allah.
Di dalam surah Ali Imran, ayat ke 200, Allah befirman yang maksudnya “Wahai orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran mu serta tetaplah bersiap- siaga (diperbatasan negerimu) di samping bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.”
Bermuhasabah diri adalah lebih dituntut dari kita terus- terusan mempersoalkan mengapa dan kenapa ujian itu diturunkan kepada kita. Apa agaknya yang mungkin masih kurang pada amal dan iman kita sehingga Allah timpakan ujian itu sebagai peringatan kepada kita. Bukankah itu lebih ‘padan’ dengan darjat kita yang hanya sebagai hamba Nya ini.
Allah telah mengingatkan manusia tentang ujian-ujian yang bakal dilalui seperti di dalam surah Al-‘Ankabut, ayat 2, “ Apakah manusia mengira mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman, dan mereka tidak dijuji?”. Ujian itu penebus dosa, sebagai hadiah untuk ditingkatkan Nya iman kita dan ditambah pahala dari Nya. Sesuai dengan firman Allah, “Dan orang yang bersabar dalam musibah, penderitaan dan dalam peperangan, mereka itulah orang yang benar imannya dan mereka itulah orang yang bertaqwa. (surah Al- Baqarah, ayat 177)
Sebagaimana kita diajarkan untuk bersyukur ketika diberi nikmat, samalah jua halnya untuk kita bersabar ketika diuji Allah. Sabarlah ketika diuji.syukurlah ketika diberi nikmat. Dan sesungguhnya bersabar itu akan diganjari pahala. “Sesungguhnya orang yang bersabar sahaja akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira” (surah Al- Zumar, ayat 10).
Nikmat Allah itu pelbagai bentuk, rupa dan rasa, namun ianya hanya akan benar- benar nikmat apabila disyukuri. Begitu jualah halnya dengan ujian, ianya akan lebih berpahala dan bererti apabila dihadapi dengan penuh kesabaran.
Tenangkan hati selalu dengan zikrullah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. (Surah Ar-Ra’d, ayat 28). Bisikkan pada diri kita, bersabarlah hati, tenanglah jiwa..sesungguhnya jalan mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis.
Sebagai penguat semangat dalam menghadapi ujian hidup kita yang kadang kala cukup meragut ketenangan dan kesabaran, ingatlah akan sabda Rasulullah yang bermaksud “Dan solat itu laksana sinar rembulan, sedekah itu bukti keimanan, sedangkan sabar itu laksana sinar matahari” (Riwayat Muslim). Oleh itu ayuhlah wahai saudara ku sekalian untuk kita sinari liku- liku kehidupan ini dengan indahnya sinaran sabar. Oleh itu, sabarlah dalam bersabar..
Terjemahan Al Quran Al Karim (Rasm Uthmani), Dalam Bahasa Melayu, 2010, Edisi Pertama, Al- Hidayah House of Quran Sdn. Bhd
Solusi, Isu 31, Sabar Itu Indah, 2011, Telaga Biru Sdn. Bhd
http://genta-rasa.com/
No comments:
Post a Comment