Menceburkan diri di dalam
perniagaan merupakan satu tuntutan fardu kifayah ke atas orang Islam. Pada masa
kini, kewujudan usahawan-usahawan Muslim adalah diibaratkan seperti cendawan
yang tumbuh selepas hujan. Nama-nama besar seperti Tan Sri Syed Mokhtar
Al-Bukhari, Dato’ Aliff Syukri
Kamarzaman dan Dato’ Haji Ramly Bin Mokni adalah merupakan antara tokoh
usahawan Muslim yang amat berjaya di alaf ini.
Umum mengetahui motif
utama dalam perniagaan adalah untuk memperoleh keuntungan semaksima yang
mungkin. Namun, dewasa ini, perniagaan sudah mempunyai satu sisi pandang yang
lain di mana konsep memberi dan berlebih kurang semakin diterapkan. Semakin lama hidup di muka bumi ini, konsep
berkat lebih diutamakan oleh muslimin, bukan sahaja dalam perniagaan, bahkan
dalam kehidupan seharian.
Berkat atau barakah
menurut sisi pandang para ulama bermaksud, iaitu kepastian di sisi Ilahi pada
suatu perkara, yang apabila pada perkara yang sedikit akan menjadi banyak dan
apabila pada kepada yang banyak akan menambah manfaatnya, dan sehebat-hebat
hasil keberkatan dalam seluruh perkara adalah apabila digunakan kembali untuk
membawa ketaatan kepada Allah. Manakala,
dari sudut istilah, berkat membawa maksud kebaikan yang melimpah ruah yang dikurniakan
Allah kepada siapa yang dikehendaki-Nya.
Salah satu cara untuk mendapat
berkat di dalam perniagaan adalah dengan memperbanyakkan amalan suka memberi
sepertiberzakat, menderma dan bersedekah. Menderma dan bersedekah itu menambahkan
rezeki bukan mengurangkannya. Sebagaimana firman Allah di dalam Surah
Al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud:
“Bandingan
(derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama
seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai
itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan
pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat)
kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya”.
Oleh itu, kita hendaklah
tidak mengecilkan skop rezeki hanya kepada penilaian naik turun harta dan wang
di hadapan mata. Sekiranya pemikiran dicorak sebegitu, apa yang berkurang akan
dirasa sentiasa menurun. Perasaan sebegitu mungkin mengekang seseorang untuk
tidak bersedekah malah merasakan berbelanja kepada ahli keluarga sendiri juga adalah
merupakan suatu kerugian. Perlu diketahui bahawa rezeki di dalam Islam tidak
hanya terhad kepada wang dan harta. Jangkauan rezeki meliputi perasaan
kecukupan, ketenangan, kesihatan dan kesejahteraan dijauhi dari bala bencana dan
kemalangan.
Sesungguhnya amalan
bersedekah beserta niat yang ikhlas bukan sahaja diganjari Allah dengan pahala
semata-mata, namun ianya juga mengundang pelbagai kelebihan yang meliputi dunia
dan akhirat. Di antara kelebihan bersedekah adalah:
1)
Sedekah merupakan amalan yang paling baik
dan disukai Allah.
2)
Amalan sedekah menutup 70 pintu kejahatan.
3)
Penawar kepada penyakit hati dan rohani.
4)
Sedekah merupakan tahap tertinggi dalam
bersyukur.
5)
Sedekah dapat menyucikan diri dan harta
6)
Sesiapa yang memperbanyakkan akan
diperbanyakkan baginya, dan siapa yang mengurangkan akan dikurangkan baginya.
Sesiapa yang kedekut atau tidak memberi, maka dia juga tidak akan diberi.
7)
Didoakan oleh para Malaikat. Seperti hadis
Nabi SAW yang bermaksud:
“Tidaklah seseorang muslim yang memberi pakaian
kepada orang muslim yang lain, kecuali ia di dalam lindungan Allah SWT selama
pakaian itu masih ada, sekalipun sehelai kain”. (Riwayat al-Tirmizi)
Selain itu, Dr Zahiruddin
menerusi buku beliau, ‘Sedekah Luar Biasa’ ada menggariskan beberapa contoh
keberkatan yang boleh diperoleh hasil dari sifat suka bersedekah antaranya:
1)
Keberkatan dalam kehidupan berkeluarga –
dilindungi dari sebarang pergaduhan besar yang meruntuh kepercayaan dan
kebahagian suami, isteri dan anak.
2)
Kesihatan - diselamatkan daripada
kemalangan dan bencana. Namun, sekiranya ditimpa bencana, ianya membawa hampir
kepada Allah dan bukannya semakin jauh.
3)
Harta - terselamat dari mendapat kerjaya
yang haram dan dihindar dari jawatan atau kenaikan pangkat yang memudaratkan
masa hadapan.
4)
Berasa cukup dengan apa yang ada (qanaah) -
tetapi tidak putus semangat untuk terus menerus memperbaiki diri dan kerja.
5)
Sumber pendapatan tambahan boleh datang
tanpa disangka-sangka.
6)
Direndahkan minat dan nafsu kepada harta
dan pendapatan haram serta diberi kekuatan untuk istiqamah dalam perkara yang
halal - kebebasan jiwa dan hati daripada keterikatan dengan harta dunia (zuhud).
7)
Dipermudahkan oleh Allah untuk berada di
tempat dan persekitaran yang baik dan tidak berbahaya untuk diri dan keluarga.
Justeru, peniaga
hendaklah tidak menantikan ganjaran di dunia daripada sifat memberi tersebut.
Yang lebih baik adalah dengan menganjarkan rezeki yang berkat atau barakah. Di
samping memberi melalui derma dan sedekah, peniaga juga harus diberi pendedahan
bahawa amalan membayar zakat itu bukan sahaja sangat membantu dalam perkembangan
umat islam, malah merupakan kunci tarikan rezeki yang sangat material.