Saturday, September 29, 2018

Meraih berkat dalam perniagaan


Menceburkan diri di dalam perniagaan merupakan satu tuntutan fardu kifayah ke atas orang Islam. Pada masa kini, kewujudan usahawan-usahawan Muslim adalah diibaratkan seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan. Nama-nama besar seperti Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari, Dato’ Aliff Syukri Kamarzaman dan Dato’ Haji Ramly Bin Mokni adalah merupakan antara tokoh usahawan Muslim yang amat berjaya di alaf ini.
Umum mengetahui motif utama dalam perniagaan adalah untuk memperoleh keuntungan semaksima yang mungkin. Namun, dewasa ini, perniagaan sudah mempunyai satu sisi pandang yang lain di mana konsep memberi dan berlebih kurang semakin diterapkan.  Semakin lama hidup di muka bumi ini, konsep berkat lebih diutamakan oleh muslimin, bukan sahaja dalam perniagaan, bahkan dalam kehidupan seharian.
Berkat atau barakah menurut sisi pandang para ulama bermaksud, iaitu kepastian di sisi Ilahi pada suatu perkara, yang apabila pada perkara yang sedikit akan menjadi banyak dan apabila pada kepada yang banyak akan menambah manfaatnya, dan sehebat-hebat hasil keberkatan dalam seluruh perkara adalah apabila digunakan kembali untuk membawa ketaatan kepada Allah.  Manakala, dari sudut istilah, berkat membawa maksud kebaikan yang melimpah ruah yang dikurniakan Allah kepada siapa yang dikehendaki-Nya.
Salah satu cara untuk mendapat berkat di dalam perniagaan adalah dengan memperbanyakkan amalan suka memberi sepertiberzakat, menderma dan bersedekah. Menderma dan bersedekah itu menambahkan rezeki bukan mengurangkannya. Sebagaimana firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud:
“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya”.
Oleh itu, kita hendaklah tidak mengecilkan skop rezeki hanya kepada penilaian naik turun harta dan wang di hadapan mata. Sekiranya pemikiran dicorak sebegitu, apa yang berkurang akan dirasa sentiasa menurun. Perasaan sebegitu mungkin mengekang seseorang untuk tidak bersedekah malah merasakan berbelanja kepada ahli keluarga sendiri juga adalah merupakan suatu kerugian. Perlu diketahui bahawa rezeki di dalam Islam tidak hanya terhad kepada wang dan harta. Jangkauan rezeki meliputi perasaan kecukupan, ketenangan, kesihatan dan kesejahteraan dijauhi dari bala bencana dan kemalangan.
Sesungguhnya amalan bersedekah beserta niat yang ikhlas bukan sahaja diganjari Allah dengan pahala semata-mata, namun ianya juga mengundang pelbagai kelebihan yang meliputi dunia dan akhirat. Di antara kelebihan bersedekah adalah:
1)      Sedekah merupakan amalan yang paling baik dan disukai Allah.
2)      Amalan sedekah menutup 70 pintu kejahatan.
3)      Penawar kepada penyakit hati dan rohani.
4)      Sedekah merupakan tahap tertinggi dalam bersyukur.
5)      Sedekah dapat menyucikan diri dan harta
6)      Sesiapa yang memperbanyakkan akan diperbanyakkan baginya, dan siapa yang mengurangkan akan dikurangkan baginya. Sesiapa yang kedekut atau tidak memberi, maka dia juga tidak akan diberi.
7)      Didoakan oleh para Malaikat. Seperti hadis Nabi SAW yang bermaksud:

Tidaklah seseorang muslim yang memberi pakaian kepada orang muslim yang lain, kecuali ia di dalam lindungan Allah SWT selama pakaian itu masih ada, sekalipun sehelai kain”. (Riwayat al-Tirmizi)
Selain itu, Dr Zahiruddin menerusi buku beliau, ‘Sedekah Luar Biasa’ ada menggariskan beberapa contoh keberkatan yang boleh diperoleh hasil dari sifat suka bersedekah antaranya:
1)      Keberkatan dalam kehidupan berkeluarga – dilindungi dari sebarang pergaduhan besar yang meruntuh kepercayaan dan kebahagian suami, isteri dan anak.
2)      Kesihatan - diselamatkan daripada kemalangan dan bencana. Namun, sekiranya ditimpa bencana, ianya membawa hampir kepada Allah dan bukannya semakin jauh.
3)      Harta - terselamat dari mendapat kerjaya yang haram dan dihindar dari jawatan atau kenaikan pangkat yang memudaratkan masa hadapan.
4)      Berasa cukup dengan apa yang ada (qanaah) - tetapi tidak putus semangat untuk terus menerus memperbaiki diri dan kerja.
5)      Sumber pendapatan tambahan boleh datang tanpa disangka-sangka.
6)      Direndahkan minat dan nafsu kepada harta dan pendapatan haram serta diberi kekuatan untuk istiqamah dalam perkara yang halal - kebebasan jiwa dan hati daripada keterikatan dengan harta dunia (zuhud).
7)      Dipermudahkan oleh Allah untuk berada di tempat dan persekitaran yang baik dan tidak berbahaya untuk diri dan keluarga.
Justeru, peniaga hendaklah tidak menantikan ganjaran di dunia daripada sifat memberi tersebut. Yang lebih baik adalah dengan menganjarkan rezeki yang berkat atau barakah. Di samping memberi melalui derma dan sedekah, peniaga juga harus diberi pendedahan bahawa amalan membayar zakat itu bukan sahaja sangat membantu dalam perkembangan umat islam, malah merupakan kunci tarikan rezeki yang sangat material.

No comments:

Post a Comment