Burnout adalah keadaan emosi, mental dan keletihan fizikal yang disebabkan oleh tekanan kerja yang berlebihan. Burnout boleh terjadi dalam banyak faktor tetapi kebanyakan kes ramai mengalami situasi ini akibat bebanan kerja yang terlalu banyak. Faktor utama lain yang membawa kepada burnout adalah tiada aktiviti sosial, tidak mendapat sokongan rakan sekerja, majikan dan keluarga, tidak cukup tidur serta mengalami tekanan atau stres. Jika ia berterusan dalam jangka masa yang panjang seseorang itu cenderung mula hilang minat dan motivasi dan seterusnya menyebabkan produktiviti diri berkurangan. Tanda-tanda lain yang menunjukkan anda mengalami frasa burnout ialah rasa keletihan sepanjang masa, kerap sakit kepala, sakit badan, sakit otot, mudah merasa marah dan sensitif serta mudah menangis adalah merupakan tanda jelas anda mengalami fasa burnout.
Selain dari bebanan kerja yang
berlebihan, faktor lain yang membawa kepada burnout ialah kerja di
luar kepakaran, bidang tugas atau minat. Apabila seseorang melakukan sesuatu di
luar kepakaran atau secara paksaan tanpa minat yang mendalam, ini boleh
menimbulkan tekanan. Ini kerana seseorang individu itu tidak dapat mencapai
kepuasan dalam bekerja, sentiasa berasa risau tentang mutu kerja serta sering
berasa tidak cukup bagus dalam menjalankan tugasan tersebut. Ia juga mungkin
menimbulkan rasa rendah diri dan sering membuat perbandingan dengan orang lain.
Di samping itu, terdapat juga beberapa ciri personaliti individu yang
menyebabkan mereka cenderung untuk mendapat tekanan serta burnout.
Antaranya adalah individu yang terlalu mementingkan kesempurnaan dalam semua
tugas, individu yang meletakkan target serta pencapaian yang tinggi, individu
yang sukar memberi kepercayaan kepada orang lain dan lebih gemar melakukan
tugasan secara sendirian dan individu yang sentiasa berfikiran pesimis terhadap
diri dan orang lain.
Bagi megelakkan masalah burnout ini berpanjangan, berikut merupakan
langkah-langkah yang dapat diambil untuk mengatasi masalah ini.
Keseimbangan dalam kehidupan.
Walaupun kita kini 24 jam berada di rumah namun, perlu adanya had dalam
melakukan kerja pejabat mahupun kerja pengajaran dan pembelajaran dir rumah
(Pdpr) untuk anak-anak. Terdapat 3 jenis keseimbangan yang perlu
dipertimbangkan iaitu keseimbangan matlamat (goal balance) iaitu
kebaikan di dunia akhirat, keseimbangan keutamaan (priority balance) di
mana perlunya usahakan yang lebih utama dan keseimbangan sikap (attitude
balance).
Bagi keseimbangan matlamat, sebagai seorang Muslim, setiap perkara yang
dilakukan perlulah berlandaskan misi akhirat, di samping misi dunia. Dengan
berlandaskan prinsip ini, maka dunia bukan lagi satu matlamat utama, malah
ianya akan menjadi hanya satu alat bagi mencapai matlamat akhirat iaitu untuk
menjadi hamba yang taat dan bersyukur. Maka, segala matlamat dunia bukanlah
lagi medan persaingan, malah ianya menjadi suatu medan untuk bekerjasama,
memberi dan berkhidmat dengan ikhlas.
Bagi keseimbanan keutamaan, banyak perkara yang perlu diselesaikan
seharian. Maka, perlunya ada prioriti dalam menjalankan aktiviti. Contohnya,
kerja di pejabat boleh diuruskan dengan mengklasifikasikannmya sebagai segera,
penting dan tidak penting. Ini membolehkan kita lebih fokus kepada satu-satu
tuigasan tanpa perlu tergopoh-gopoh menyiapkan kesemuanya sekalius.
Bagi keseimbangan sikap pula, perlu adanya keseimbangan dalam tindakan.
Contohnya bagi dua benda yang bertentangan seperti displin dan santai, perlu
adanya keharmonian dalam kedua-dua sikap agar ianya tidak memberikan kesan yang
buruk kepada diri sendiri. Keseimbangan terakhir ini amat berkait rapat dengan
konsep qada dan qadar di mana perlunya ada keseimbanan dalam usaha dan tawakkal
kepada Allah Taala.
Di samping itu, bagi mengelakkan burnout dari bebanan kerja yang
berlebihan, terdapat beberapa tips yang boleh diaplikasi. Contohnya bagi
membolehkan anda fokus dalam sesuatu tugasan, berikan had masa dan reward diri
bagi setiap tugasan yang berjaya diselesaikan. Tugasan yang besar perlu
dipecahkan untuk membantu fokus dan menghargai pencapaian kejayaan bagi tugasan
kecil yang telah dipecahkan. Di samping itu perlunya tugasan disenaraikan mengikt
prioriti kerja tersebut. Hasilnya banyak kerja dapat diselesaikan dalam masa
yang singkat.
Selain itu, ada 5 aspek yang perlu ditambah baik dan diberikan
keseimbangan sewajarnya iaitu fizikal, mental, emosi, sosial dan spiritual.
Aspek fizikal
Dari aspek fizikal, pertama, ambil masa untuk rehat seketika. Lupakan
hal kerja, beriadah, ambil angin dan keluarkan peluh. Antara aktiviti lain
ialah aktiviti mengemas rumah dan membuang barang-barang lama yang tidak lagi
diperlukan amat bagus bagi memberikan kelegaan dan ketenagan hati.
Selain itu, makan makanan berkhasiat yang tidak memberikan ketegangan
dan keradangan seperti makanan pedas, makanan tinggi gula dan makanan yang
mengandungi pengawet tinggi seperti makanan segera. Banyakkan makanan seperti kacang,
ubi, buah-buah yang tinggi oksida dan protein seperti ikan bagi mengawal emosi
dan memberikan kesihatan yang baik.
Di samping itu, lakukan teknik relaksasi seperti latihan pernafasan
secara teratur (8 saat tarik nafas 16 saat tahan nafas dan 8 saat lepaskan
nafas melalui hidung). Pernafasan yang baik dapat memberikan oksigen yang cukup
sampai ke otak dan memberikan kesan tenang. Kita juga perlu berpuas hati dengan
apa yang telah dicapai dalam tugasan Kita mungkin tidak dapat memberikan 100%
usaha kita akibat tanggungjawab lain dan kekangan yang ada. Namun, yakinlah
usaha kita tu sudah memadai dan yang terbaik buat masa ini. Tidak perlu untuk
memaksa diri untuk bekerja melebihi had kerana itu akan memudaratkan diri lagi.
Kita tidak mahu untuk jatuh sakit di saat ini bagi mengelakkan kesusahan yang
lebih besar. Sayangi diri anda dengan menjaga tidur, jaga postur badan di saat
bekerja dan tidak memaksa otak untuk bekerja lebih dari sepatutnya. Badan anda
akan memberikan signal tersendiri seperi sakit badan, pening kepala dan sengal
badan bagi membolehkan anda untuk slow down.
Aspek mental dan emosi
Dari segi mental dan emosi, pertama, berikan kata-kata positif kepada
diri sendiri seperti good job dan anda telah lakukan yang terbaik.
Ini akan memberikan emosi yang positif kepda diri. Anda perlu merasa bagus
dengan diri anda tanpa perlu mengharapkan pujian dari orang lain. Aspek mental
ini juga merangkumi pupuk minat terhadapa kerja
yang dilakukan. Cara untuk memupuk minat adalah dengan mencari makna kepada
pekerjaan yang sedang dilakukan. Apakah impak pekerjaan itu kepada syarikat,
masyarakat atau penambahbaikan diri. Kata pada diri untuk menjadikan halangan
sebagai batu loncatan untuk kebaikan diri. Semua perkara terjadi
adalah untuk kebaikan kita. Contohnya untuk menjadikan kita lebih baik, lebih
bersemangat, lebih kuat dan terus berusaha. Sekiranya tiada halangan dalam
hidup, maka kita tidak akan belajar untuk menyesuaikan diri dan menyelesaikan
masalah. Setiap cabaran dan halangan merupakan batu loncatan untuk lebih
berjaya apabila kita bersikap optimistik. Jadi amat penting untuk kita bersikap
kebal dan tahan lasak apabila berhadapan dengan situasi untuk mengadaptasi
kerja dan kehidupan.
Aspek
sosial
Dari
segi sosial, kita memerlukan orang lain dengan mengagihkan kerja kepada orang
lain (delegasi). Dalam banyak hal, banyak perkara kita boleh agihkan kepada
orang lain. Kerja-kerja rumah seperti memasak, mengemas rumah dapat dimudahkan
dengan adanya bantuan teknologi terkini seperti tempahan makanan di atas talian
dan robot vacuum. Selain itu komunikasi amatlah
penting. Semua perkara perlu dinyatakan dengan
jelas terutama kepada pihak yang terlibat. Elakkan dari bersangka-sangka dan memendam
rasa. Sebarang masalah perlu diperhalusi dan diatasi bersama-sama. Elakkan dari bersangka-sangka dan menyimpan perasaan kerana itu
tidak mmbantu untuk menyelesaikan masalah.
Aspek spiritual
Terakhir, dari aspek spiritual, tidak dapat tidak lari dari perlu
menambahkan kebergantungan kepada Allah. Minta tolong darinya dan gunakan
nama-nama Allah seperti Ya Salam (tenang), Ya Hafiz (pemelihara) dan Ya Bari
(mengatur) untuk membantu memudahkan urusan seharian kita. Melalui kesemua
keseimbangan yang dinyatakan, diharapkan kita dapat terus bertahan dan belajar
banyak perkara dari pendemik yang Allah turunkan ini.
No comments:
Post a Comment